Pembukaan pencalonan

Pembukaan pencalonan

KEPIMPINAN DI DALAM ISLAM SIRI III



AKHLAK DAN SIFAT YANG PERLU ADA PADA DIRI PIMPINAN

Model kepimpinan melalui teladan yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda SAW dengan meletakkan dunia ditangan mereka dan meletakkan akhirat di hati mereka adalah asas penolakan pengaruh materialis, sekularis, liberalis, paragmatis dan semua unsur luar yang mencemarkan kesucian Aqidah dan pegangan Umat Islam. Maka islam telah menggariskan akhlak dan sifat-sifat yang perlu ada dalam diri setiap pimpinan. 

Antaranya :

1.      Seorang pimpinan mestilah sentiasa mengharapkan akhirat dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Mempunyai hati yang bersih, jauh dari segala penyakit jiwa yang akan meruntuhkan amal dan usahanya seperti riya’, gila kuasa, cinta pangkat kebesaran dan pengaruh atau terpedaya dirinya dan lain-lain penyakit jiwa yang merosakkan pimpinan.

2.      Mempunyai akal yang kuat, hikmah, cerdik cendiakawan dan arif bijaksana, berpengalaman, mempunyai pandangan yang tajam, pembacaan yang luas, mampu mengetahui pelbagai perkara dari berbagai sudut.

3.      Mestilah berakhlak dengan sifat “Al-Hilm” (tidak mudah marah), penyantun,pengasih dan lemah lembut.

4.      Berani, bermaruah, tidak penakut dan tidak membabi buta.

5.      Mempunyai sifat “As-Siddiq” (benar di dalam segala kata-kata, sikap dan perbuatan).

6.      Tawadhu’ (merendah diri), tidak membanggakan diri kepada menusia.

7.      Mempunyai sifat pemaaf, menahan kemarahan dan ihsan kepada oerang bawahan yang berbuat jahat terhadapnya.

8.      Menepati janji dan memenuhi sumpah setia.

9.      Mempunyai sifat sabar yang tinggi

10.  Bersifat “Al-‘Iffah”(suci hati,jiwa dan amal) dan “Al-Kiram” (bersifat pemurah dan tidak bakhil).

11.  Warak dan zuhud

12.  Jauh dari sifat “Al-Mannu” (mengungkit) dan memperkatakan kebaikkan diri sendiri.

13.  Memelihara perkara-perkara yang dimuliakan Allah (Hurumatillah).

14.  Kesejahteraan hati, tidak melayani orang yang mengumpat dan mengadu domba antara sesame manusia.

15.  Keazaman, tawakal dan tidak ragu.

16.  Bersederhana di dalam segala perkara

17.  Menjauhi sikap putus asa

Kesemua akhlak dan sifat-sifat yang di sebutkan tadi perlu dimiliki oleh setiap pimpinan samada pimpinan persatuan, politik, Negara dan sebagainya. Mereka berkewajipan untuk menghiasi dirinya dengan sifat-sifat tersebutserta memeliharanya, disamping memelihara akhlak islam secara keseluruhannya yang wajib ke atas setiap muslim.


                       PENUTUP

Apabila kriteria kepimpinan Islam dijadikan syarat utama dalam memilih pemimpin, maka Keizzahan Islam itu akan terserlah dalam Pemerintahan Negara secara praktikal.
Saidina Umar RA berkata: "Kita adalah kaum yang diberi kemuliaan dengan Islam, maka sesiapa yang mencari selain daripada Islam, Allah akan memberi kehinaan kepadanya."

Mauqaqis Gabenor Mesir mengakui kehebatan kepimpinan Islam apabila melihat keperibadian tentera Amru bin Al Ash yang diutus kepadanya : " Demi Tuhan, kalau demikian sikap mereka, walaupun gunung menghalang cita-cita, namun mereka tetap dapat meruntuhkannya juga. Sesungguhnya tidak ada sesiapapun yang sanggup berhadapan dengan kaum yang sedemikian."

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Pemimpin yang paling baik ialah mereka yang datang menemui para Ulama` dan Ulama` yang paling jahat ialah mereka yang datang menemui para Pemimpin (ulama`pengampu pimpinan)." (maksud hadis)






Disediakan oleh:

FELO MANHAL PMRAM 2011

      1. Dayang Siti Nuraini binti Awang Damit Yahya
      2. Hanisah bt. Hj. Muslim

This entry was posted on Saturday, 22 December 2012. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Responses are currently closed.